Rabu, Mei 03, 2023

Tips Semasa Tempoh Pemantauan Pelajar LI Berlangsung

        Pelajar-pelajar yang sedang menjalani Latihan Industri secara umumnya telahpun diberitahu bahawa anda semua pasti akan dipantau sekurang-kurangnya SATU (1) kali sepanjang tempoh latihan industri berlangsung. Sudah tentu, inilah masanya para pelajar akan rasa debarannya bila mendapat berita bahawa pensyarah pemantau akan mula berkeliaran ke sekitar pelusuk tempat kerja mereka. JANGAN RISAU.....

Berikut adalah tips bagaimana anda harus menangani proses pemantauan ini.


Ketika makluman pemantauan mula-mula diterima;

    i) Bertenang. Makluman biasanya akan diterima beberapa hari lebih awal daripada hari pemantau akan hadir. Maka, mesti akan ada masa untuk anda buat persiapan. 

    ii) Maklumkan kepada penyelia anda terlebih dahulu masa dan tarikh yang dirancang itu. 

    iii) Jika ada sebarang permasalahan, terus berbincang dengan pemantau/penyelia sehingga satu tarikh dan masa yang dirasakan sesuai dapat dicapai (atau mungkin pemantau/penyelia dapat berhubung di masa yang lain nanti, tak semestinya penyelia ada semasa perjumpaan - mungkin sibuk semasa itu - wakil penyelia dah mencukupi).

    iv) Cadangkan tempat yang sesuai untuk perjumpaan, seperti bilik mesyuarat/taklimat, ruang menunggu dan sebagainya. Jangan risau, di boot kereta pun masih dianggap sesuai jika anda memang berada di tapak pembinaan yang jauh dari mana-mana pejabat syarikat. Asalkan perjumpaan itu berlaku.

    v) Jika ada keperluan yang spesifik untuk pemantau memasuki kawasan premis, bantu pemantau (seperti mendapatkan borang-borang tertentu untuk diisi, atau maklum dengan pengawal keselamatan dsb) supaya urusan lebih lancar dan mudah.


Keperluan sebelum pemantauan;

    i) Buku jurnal perlu dikemaskini sehingga waktu terkini sebelum hari pemantauan. Pastikan cop dan tandatangan penyelia dah lengkap ada di dalam buku jurnal tersebut.

    ii) Laporan akhir juga seharusnya telah mula dibuat (walaupun mungkin isinya masih terlalu sedikit - usaha itu penting untuk ditunjukkan) dalam bentuk draf mengikut format yang telah ditetapkan. 

    iii) Borang-borang pemantauan juga boleh dicetak sendiri dan bawa semasa pemantauan (untuk memudahkan pemantau sekiranya pemantau lupa bawa, hilang dsb). Borang boleh didapati terus dalam blog ini.

    iv) Slaid pembentangan kadang kala juga dapat membantu sekiranya dirasakan perlu. Tanya pemantau anda jika mereka inginkan anda membuat pembentangan semasa pemantauan.  


Hari pemantauan;

    i) Pastikan anda sentiasa peka akan waktu kehadiran pemantau ke premis anda. 

    ii) Pastikan pakaian adalah bersesuaian dengan hari perjumpaan berkenaan serta tidak mengganggu keperluan kerja anda. 

    iii) Terus ke tempat perbincangan yang telah ditetapkan, penuhi keperluan pemantau seadanya dan wujudkan suasana harmoni ketika perjumpaan tersebut.

    iii) Jika penyelia tidak dapat hadir dalam perjumpaan yang dirancang, pastikan penyelia sedar akan kehadiran pemantau pada hari tersebut dan pastikan pemantau ada nombor telefon penyelia anda untuk pemantau menghubunginya kemudian jika perlu.